Amaxmall Perluas Pasaran Produk IKS Secara Luar Talian

 

Februari 9, 2018 - Pasaraya Besar Giant hari ini memperluaskan perniagaanya di Perak dengan membuka satu lagi cawangan di Falim, di sini.

Ketua Eksekutif GCH Retail (Malaysia) Sdn Bhd, Pierre-Olivier Deplanck berkata, cawangan Giant kelima di negeri ini dibuka atas dasar keyakinan mereka terhadap perkembangan dan potensi ekonomi Perak yang berkembang baik.

Katanya, salah satu elemen unik yang ditawarkan kepada pelanggan ialah ‘Citarasa Malaysia’ yang mana ianya merupakan ruangan penempatan produk-produk makanan tempatan. 

Deplanck berkata secara tidak langsung ia turut mempromosikan barangan daripada industri perniagaan kecil dan sederhana (IKS) di dalam pasaraya berkeluasan lebih 100,000 kaki persegi ini.

“Tidak hanya memperuntukan lebih 400 peluang pekerjaan untuk masyarakat tempatan, malah kami begitu komited dalam memberi sokongan kepada peniaga-peniaga kecil dan sederhana di Perak.

“Pembekal sayur kami berada di Lembah Kinta, Jalong dan Menglembu. Q-Yin Marine dari Hutan Melintang pula merupakan pembekal sumber ikan pasaraya ini,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Pembukaan Giant Falim, dekat sini, pada Jumaat.

Pada majlis berkenaan turut disaksikan acara menandatangani perjanjian persefahaman antara amaxMALL yang diwakili Ketua Eksekutifnya, Datin Dr Nik Sarina Hasim dengan GCH Retail Malaysia.

 

AmaxMALL (www.amaxmall.com) merupakan platform e-dagang yang menempatkan sebahagian besar produk-produk tempatan yang merangkumi makanan, kesihatan, kecantikan, fesyen dan teknologi.

Nik Sarina berkata Giant Falim merupakan lokasi pertama amaxMALL bagi menempatkan 13 usahahawan mereka dan menjelang penghujung Februari ini pula, mereka mensasarkan 29 cawangan Giant lain yang berada di Lembah Klang.

“Dalam masa dua ke tiga bulan akan datang ini, kita akan membawa masuk lebih ramai usahawan tempatan untuk menyertai kita.

“Demi membantu memperkembangkan lagi produk-produk IKS, kita berharap menjelang tahun 2020, kita dapat menempatkan 30 peratus produk ini ke dalam Giant seluruh negara,” ujarnya.